Monday, October 13, 2014

Negara Bersukan Perlu Tindakan Nasional

Sumber: Sinar Harian


HASRAT kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan perlu diterjemahkan melalui pelan tindakan nasional yang komprehensif, kata ahli Parlimen Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pembangunan sukan tidak harus ditumpukan kepada peringkat Pusat sahaja kerana juara dilahirkan melalui sistem menyeluruh termasuk peringkat tempatan.

"Dalam sukan badminton misalnya, kelab yang ada hanya di Kuala Lumpur. Maka, kita akan terhenti setakat retorik negara bersukan. Jadi semua peringkat perlu terlibat termasuk peranan pihak berkuasa tempatan," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan 'Bajet 2015:Ekonomi Keperluan Rakyat' pada Jumaat lepas, mencadangkan kerajaan memperuntuk RM103 juta bagi mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Annuar (BN-Ketereh) berkata kerajaan juga perlu memberi pengecualian cukai kepada pihak swasta yang menaja acara sukan supaya pembangunan sukan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.

"Apabila kita tengok sesebuah pasukan bola sepak negeri hebat, itu kerana kerajaan negeri bagi bantuan. Jadi, saya berharap pasukan-pasukan seperti ini boleh bergerak sendiri," katanya. - Bernama

No comments:

AFFILIATE

Powered By Blogger